Friday, July 29, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

بسم الله الرحمن الرحيمAssalamualaikum wbt,

Apa khabar kepada jururawat pelatih yang dikasihi sekalian. Diharap sihat sentiasa hendaknya. InsyaAllah, dalam beberapa hari lagi kita bakal menyambut Ramadhan Al-Mubarak, suatu bulan yang dianggap BONUS terbesar daripada Allah S.W.T. kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini Kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T. dalam bulan Ramadhan adalah sangat hebat dan amat berbalo-baloi. Bertepatan dengan riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:- Allah S.W.T. berfirman,
“Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT: Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim). Subahanallah, begitu besar ganjaran yang Allah S.W.T berikan kepada kita sepanjang bulan yang barokah ini. Lebih-lebih lagi, kita yang disiang harinya membantu merawat pesakit dengan penuh keikhlasan semata-mata untuk mencari ilmu dan untuk mendapat keredhoaanNya. 



Demi untuk memastikan kita mampu memaksimumkan ibadah dalam bulan Ramadhan ini,ada baiknya disenaraikan beberapa panduan yang boleh diamalkan sepanjang Ramadhan kita pada kali ini:

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya” 
(Al-Bukhari dan Muslim).

3) Mendirikan solat sunat tahajjud, witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah.

4) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

5) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa. Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.A.W: “Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang” (Riwayat Al-Bazaar).

6) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka. Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak (Riwayat Ibn Majah: Sohih)

7) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.”Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka” (Riwayat Al-Bukhari).

9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Ini adalah di antara beberapa perkara yang dapat disenaraikan yang perlu diutamakan dalam mencari Rahmat dan ganjaran daripada Allah S.W.T. yang berlipat ganda. Selain daripada itu, dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara maksiat yang boleh menjejaskan pahala puasa kita. Hal ini kerana terdapat pandangan daripada sesetengah para Ulama berkenaan dengan balasan bagi yang mengerjakan maksiat di dalam bulan Ramadhan juga akan digandakan dosa dan azab oleh Allah S.W.T. Oleh itu, sama-samalah kita berhati-hati didalam bulan Ramadhan ini supaya tidak berlaku perkara-perkara maksiat dan keji terutama yang melibatkan lidah seperti bercakap buruk seumpama maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota kerana ianya akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya:
Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Akhirnya, marilah sama-sama kita merebut ganjaran yang telah disediakan oleh Allah S.W.T. sepanjang Ramadhan yang bakal kita temui nanti. Mudah-mudahan dengan kesedaran dan kesediaan yang ada kepada kita dalam berdepan dengan Ramadhan bakal membuahkan hasil untuk kita bertemu dengan Lailatul Qadr dan meraih ganjaran berlipat ganda pada malam tersebut. Nabi S.A.W. Bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dan keredhaan daripada Allah S.W.T, Nescaya Allah S.W.T. akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (riwayat Bukhari)..


Oleh itu, selamat berpuasa dan selamat beramal semua..^^
ikhlas dari PJMK sesi10/11

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...