Sunday, April 3, 2011

Selangor Ucap Takziah Bencana Tsunami Kepada Kerajaan Jepun

March 15th, 2011 Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengunjungi Kedutaan Jepun di Malaysia di Jalan Ampang hari ini bagi menyatakan kesedihan rakyat Selangor berhubung kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda negara  Jepun.
Beliau disambut, Timbalan Chief-de-Mission kedutaan tersebut, Encik Koichi Ito. Dalam pertemuan itu, Menteri Besar menyatakan bahawa rakyat Selangor sentiasa mendoakan kesejahteraan mangsa-mangsa yang terselamat dalam bencana alam itu.

Menteri Besar juga menawarkan bantuan Kerajaan Selangor untuk merawat mangsa-mangsa yang selamat  sepanjang tempoh pemulihan. Selangor mempunyai kemampuan untuk menghulurkan bantuan rawatan pemulihan menerusi pelajar-pelajar kejuruwatan di Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Beliau berkata Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk membiayai penghantaran jururawat untuk memberi bantuan kepada rakyat Jepun, termasuk kos perjalanan serta penginapan mereka serta fasiliti yang terlibat.

“Inilah bantuan sedikit yang kami boleh hulurkan. Kami mendoakan semua mangsa yang selamat agar cepat sembuh. Kami tahu dan yakin rakyat dan negara Jepun akan pulih dari malapetaka ini dengan cepat,” kata Menteri Besar.
Beliau juga telah menyampaikan salam takziah bagi pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat merangkap Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor.
Sementara itu, Koichi berkata, Kerajaan Jepun sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Selangor dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang mengambil berat serta simpati dengan penderitaan mangsa-mangsa bencana alam itu.
“Kami yakin mampu mengatasi bencana ini. Kerajaan Jepun sangat menghargai  semangat perpaduan yang ditunjukkan Kerajaan Selangor dan rakyat Malaysia,” katanya.
Koichi berkata, beliau akan merujuk kepada bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan Jepun di Tokyo dalam waktu terdekat ini.
Turut mengiringi Menteri Besar, beberapa Exco negari termasuk YB Elizabeth Wong,  YB Rodziah Ismail dan YB Ronnie Liu serta Ahli Parlimen Pakatan seperti YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang), YB Tian Chua (Batu), YB Nurul Izzah (Lembah Pantai), YB Dr Dzulkefly Ahmad, (Kuala Selangor) YB Loh Gwo Burne (Kelana Jaya), YB William Leong (Selayang), YB Aziz Kadir (Ketereh),  YB Amran Ghani (Tanah Merah) dan YB Rashid Din (Merbok).

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR
Source: Suara Keadilan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...